Seburuk-Buruk Perangai Gangster Mak Dulu, Rupanya Bersebab

Assalammuailaikum admin dan pembaca. Ini kisah mak aku vs mak long aku.

Mak aku, ciri-ciri dia agak gangster sikit. Mak long aku pula, lembut seakan Elly Mazlin. Sekarang, aku nak ceritakan bagaimana aku membesar dan apa aku rasa dan teringat di saat aku dah besar.

Aku dengan sepupu aku dua-dua anak jantan pertama. Tapi aku selalu cemburu pada dia. Mana kan tidak, kaki dia terluka jatuh masa berlari main polis-polis, laju mak dia bawa pergi klinik. Aku pula, mak dari dapur je bercakap. Pandangnya tidak.

“Along, pergi mandi. Letak ubat luka atas meja itu. Padan muka. Sedap? Esok jangan lupa lari lagi sampai jatuh.”

Sejak dari kecil lagi, macam itulah peelnya. Lagi aku cemburu kalau kawan sekolah datang ke rumah. Mak long layan kawan anak dia dengan baik dan siap jamu apa yang ada. Tak dihalau pun. Tetapi mak aku, dia ada juga jamu kawan aku tapi bila jam dah dekat jam 7, dengan laju dia berkata,

“Tak reti lagi nak balik ke?”


Aku rasa segan dah nak bawa kawan ke rumah sejak peristiwa itu. Baik aku lepak dengan kawan di rumah mak long. Sebelah rumah kami saja pun.

Sampailah usia dewasa, aku dengan sepupu dapat masuk kolej. Tapi masa sampai saja, kami buat perjanjian, tak ikut campur hal peribadi. Aku okay saja, stail aku biasa, pakai apa yang ada. Tapi aku peramah. Berbeza dengan dia yang tampan, kemas dan pemalu.

Masuk saja kolej, aku dah ramai kawan. Dia? Aku tak pasti. Dah berjanji (tak campur hal peribadi, kan?). Orentasi masa itu, aku penat tapi happy. Kenangan masuk kolej kononnya. Berbeza dengan dia yang mengalami tekanan sehingga mak long datang kolej untuk melihat keadaan anaknya. Katanya menjadi mangsa buli, lalu dia pindah kolej. Manakala aku tetap enjoy dengan kehidupan pelajar kolej.


Habis study, masing-masing dah ada kerja. Aku kerja kerajaan sebab mak aku nak aku kerja dalam sektor kerajaan. Selamat katanya. Sepupu aku pula, kerja swasta. Katanya gaji dia lebih besar dari kerajaan. Tetapi bila aku balik cuti, mak cerita yang sepupu aku itu paling lama tahan kerja dua tiga tahun, mesti berhenti. Aku tak komen apa-apa.

Sampai masa, aku kahwin dulu, baru dia. Mak layan menantu tak macam layan aku dengan adik beradik dulu. Katanya, menantu special. Datang dah besar, lahirkan zuriat kena hargai. Berbeza dengan sepupu aku pula, kerana sayangkan anak, dia macam kawal menantu. Itu tak boleh, sana tak boleh. Tapi lembutlah dia tegur. Sepupu pula jenis anak mak, ikut sajalah sampai tahap isteri dia lari tuntut fasakh.

Lama aku berfikir, seburuk-buruk perangai gangster mak aku dulu, rupanya bersebab. Dia nak anak dia tabah mengharungi kehidupan. Kental hati bila berhadapan dengan cabaran. Sekarang, aku sebagai seorang suami aku pula ikut perangai bapa aku. Bila isteri membebel marah anak, aku tengok televisyen, jangan masuk campur. Itu cara dia asuh anak selagi tak mendera.

Mak pula suka sakat anak aku bila kena marah. Dia tunjuk thumbs up pada cucu dia selepas kena rotan di punggung dengan isteri aku. Kadang-kadang aku ikut juga bagi thumbs up pada anak. Dia meraung menangis, kami tengok saja. Mak kata, jangan pujuk, nanti dia tak tahu salah dia.

Ibu bapa sekalian, mendidik anak ini kadang-kadang kena ikut petua ibu bapa kita. Kita jadi manusia berguna sebab mereka.

Dari Kisah Rumah Tangga 
loading...

Tiada ulasan