“BULI”. PUNCA DAN LANGKAH MENGATASINYA


Buli adalah perkara yang bukannya asing lagi dalam masyarakat kita pada hari ini. Dewasa ini, kes buli semakin menjadi-jadi dan membimbangkan masyarakat. Laporan mengenai gejala buli yang dilaporkan dalam media cetak dan elektronik menunjukkan gejala buli yang berlaku sekarang semakin ekstrem sehingga ada yang membawa maut. Buli bermaksud perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan atau maksud menunjukkan kekuatan masing-masing.Gejala buli di sekolah juga semakin membimbangkan masyarakat terutamanya ibu bapa. Pada asasnya, gejala buli ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu buli mental dan buli fizikal. Buli mental ialah aktiviti  buli yang melibatkan kutuk-mengutuk, ejek-mengejek, dan menyindir seseorang. Buli fizikal pula melibatkan pukul-memukul dan sepak terajang sehingga boleh menyebabkan kecederaan bahkan juga kematian terhadap mangsa buli. Memang tidak dapat dinafikan, gejala buli mendatangkan pelbagai kesan buruk terutamanya kepada pelajar sekolah. Oleh itu, langkah-langkah yang sesuai perlu dilakukan untuk mengatasi masalah buli di sekolah.

Salah satu punca berlakunya kes buli dalam kalangan pelajar sekolah ialah pengaruh daripada rakan sebaya yang negatif. Gejala ini dikatakan berpunca daripada rakan sebaya kerana pada zaman ini, remaja lebih mengutamakan rakan sebaya dalam kehidupan mereka. Kebiasaannya kumpulan pelajar ini mempunyai satu kumpulan yang ditubuhkan sendiri bagi menjaga kepentingan ahli kumpulan masing-masing. Mereka bergerak dalam satu kumpulan dan melakukan apa yang dilakukan oleh ahli lain bagi mengiktiraf keahlian mereka. Sebagai contoh, kes Muhammad Afiq Qusyairi bin Baharudin seorang pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah agama di Padang Tengku,Kuala Lipis Pahang cedera selepas dibelasah oleh sekumpulan pelajar senior di sekolah tersebut. Pelajar berkenaan mengalami kecederaan yang parah dan kemungkinan akan lumpuh kerana kecederaan yang dialaminya berkait rapat dengan saraf tunjang. Ironinya, kumpulan pelajar yang membelasah Mohamad Afiq terpengaruh oleh rakan sebaya atau sekadar untuk berseronok-seronok tanpa memikirkan risiko yang bakal diterima kelak.

Pengaruh media massa merupakan antara punca berlakunya kes-kes buli. Media massa terutamanya media elektronik menyiarkan  rancangan televisyen yang mengandungi aksi pergaduhan dan pembunuhan yang ganas. Lambakan filem aksi seperti Gengster,Castello dan KL Menjerit akan mendedahkan  pelajar kepada aksi-aksi tersebut secara terbuka tanpa bimbingan orang dewasa.Pelajar yang teruja dengan aksi tersebut akan meniru kembali aksi yang telah ditonton ke  alam realiti. Mereka mudah terpengaruh dan  akan mengaplikasikan aksi tersebut kepada orang yang lebih lemah daripada mereka tanpa  menyedari bahawa perbuatan tersebut akan mengundang bahaya.Ada  sesetengah pelajar juga menjadikan pelakon sebagai ‘role model’dan merasakan diri mereka hebat dan berlagak seperti pelakon tersebut.Oleh hal yang demikian.jelaslah di sini bahawa media massa merupakan salah satu punca kepada peningkatan kes buli.

Gejala buli ini akan mendatangkan kesan buruk kepada mangsa dari segi luaran dan dalaman. Kesan luaran yang dilihat pada mangsa buli ialah kecederaan yang dialami pada fizikal mereka dan besar kemungkinan kecederaan yang parah akan membawa kepada kematian. Kesan dalaman pula ialah kesan psikologi ke atas mangsa buli seperti trauma,hilang keyakinan dan hilang fokus terhadap pelajaran. Ada sesetengah mangsa yang mengalami tekanan akan menanam azam untuk membalas dendam kepada orang lain. Hal ini dilakukan bertujuan untuk mengembalikan harga diri mereka kembali. Manakala pelajar yang  membuli pula akan dikenakan tindakan seperti digantung persekolahan.

Peningkatan gejala buli tidak harus dipandang enteng oleh semua pihak apatah lagi jika membabitkan kematian. Semua pihak harus berganding bahu menggembleng tenaga dalam usaha memastikan gejala buli tidak lagi berleluasa dalam kalangan masyarakat.Peranan ibu bapa penting dalam menangani masalah buli. Hal ini demikian ibu bapa merupakan pembentuk sahsiah pelajar sejak mereka kecil lagi bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya.”Ibu bapa boleh menerapkan pendidikan agama kerana ajaran agama boleh melahirkan manusia yang bermaruah dan mengamalkan budi pekerti yang mulia.Di samping itu,ibu bapa perlu memantau pergerakan anak-anak bagi memastikan mereka tidak bergaul dengan rakan yang tidak bermoral.Sebagai contoh ibu bapa perlu berbincang dengan anak-anak tentang aktiviti yang dilakukan anak-anak di luar waktu sekolah bagi memastikan mereka tidak melakukan sebarang aktiviti yang tidak bermoral.

Para pelajar juga haruslah peka dan bijak dalam memilih rakan sebaya supaya mereka tidak tersilap memilih rakan. Hal ini kerana seseorang individu tersebut sedikit sebanyak akan terikut-ikut perangai rakan sebaya mereka. Jika baik perangai rakan-rakan mereka,maka baik juga sikap mereka nanti.Penglibatan aktif kumpulan pelajar dalam persatuan seperti Persatuan Pencegahan Jenayah akan menjadikan pelajar tersebut terhindar daripada gejala sosial yang tidak berfaedah.

Selain itu, filem dan rancangan televisyan yang memaparkan aksi yang ganas juga harus ditapis oleh Lembaga Penapisan Filem terlebih dahulu.Hal ini kerana pelajar mudah terikut-ikut akan adegan yang ditunjukkan seperti di dalam filem tersebut juga.Pemilihan bahan tontonan yang bersesuaian juga digalakkan bagi membina sahsiah seterusnya memupuk kecerdasan minda pelajar.Misalnya,ibu bapa boleh memilih rancangan televisyen yang bersesuaian dengan pelajar semasa membuat pemilihan rancangan dari rangkaian televisyen terbesar seperti Astro.

Konklusinya,gejala buli ini haruslah ditangani dengan segera sebelum menjadi nanah dalam masyarakat.Jika masalah ini semakin berleluasa maka sukar bagi negara kita untuk maju kerana remaja merupakan aset terpenting negara dan akan menerajui negara pada masa depan bak kata peribahasa Melayu “pemuda harapan bangsa, pemudi tiang nagara.”.Oleh itu semua pihak harus berganding bahu bagi mengekang masalah sosial ini.Semoga berkat usaha gigih semua pihak kita dapat melahirkan generasi pelapis yang mampu memacu negara ke puncak kecemerlangan.

Sumber: http://ift.tt/2qTOcFX

Tiada ulasan